- Lain-lain
Produk Kitar Semula Ubah Perspektif Lapuk Terhadap Sisa Seramik
Bata berongga yang diperbuat daripada seramik sisa digunakan sebagai latar belakang produk di kedai baju sejuk bulu di Shanghai. (foto/China Daily)
Projek kitar semula seramik di Pasar Kreatif Tembikar Letian telah dimulakan pada tahun 2021 oleh Yi Design, sebuah syarikat bahan China, dan juga Bengkel Tembikar Letian.
Dalam beberapa tahun mutakhir ini, China yang merupakan pengeluar utama seramik tradisional dunia selama bertahun-tahun telah memberi penekanan yang lebih besar terhadap isu alam sekitar, sementara kitar semula seramik pula telah dibangunkan secara pesat.
Sepanjang tiga tahun yang lalu, Yi Design telah membangunkan empat jenis jubin dan batu bata kitar semula.
"Makmal kami memberi tumpuan kepada penyelidikan sisa seramik dan sisa pepejal sebagai bahan binaan mentah utama, dengan penekanan pada seni dan estetika.
"Ia adalah untuk membangunkan bahan dan produk yang mampan dan mesra alam dalam sektor pembinaan serta reka bentuk," kata Deng Peiran, ketua jabatan reka bentuk Yi Design.
Soket diperbuat daripada seramik sisa yang dihasilkan di Jingdezhen. (China Daily)
Salah seorang pengasas bersama Yi Design iaitu Yin Yi berkata, blok binaan yang dibuat syarikat daripada sisa seramik boleh digunakan sebagai "alternatif penyerap" kepada bata simen konvensional dalam pelbagai situasi.
"Ciri-ciri bata kitar semula yang terserlah bukan sahaja kebolehtelapan airnya yang hebat, tetapi juga kapasiti penyimpanan airnya.
"Apabila diletakkan di bandar, ia mampu menyerap air pemeluwapan apabila suhu lebih sejuk, dengan setiap bata mampu menampung sekitar 200 mililiter air. Tatkala matahari terbit dan suhu meningkat, air yang disimpan menyejat daripada batu bata, seklai gus membantu menyejukkan persekitaran," katanya lagi.
Selain kesan penyejukannya, batu bata ini boleh digunakan untuk mengumpul air hujan di kawasan bandar.
Ratu Maxima dari Belanda memegang batu bata yang diperbuat daripada seramik kitar semula oleh Yi Design semasa Minggu Reka Bentuk Belanda pada Oktober lalu. (foto/China Daily)
Setakat ini, Yi Design telah bekerjasama dengan kira-kira 60 kilang dan lebih daripada 40 studio seramik untuk mengumpul sisa seramik, dengan lebih 5,000 tan sisa seramik telah dikumpul.
Produk syarikat itu juga telah digunakan dalam beberapa projek, termasuk dinding berjubin kedai syarikat fesyen COS di pusat beli-belah Century Plaza Shanghai.
Untuk rekd, batu bata telap kitar semula syarikat itu telah digunakan di lantai bahagian luar bangunan komuniti yang bertemakan kopi, yang ditubuhkan bersama oleh Universiti Tongji dan rangkaian kopi Starbucks di Shanghai.